Custom Search

Selasa, 15 April 2008

Kemunculan Antropologi Modern


Franz Boas dan Bronislaw Malinowski seringkali dianggap sebagai antropologis moden yang pertama. Boas berketurunan Jerman, tetapi telah berhijrah ke Amerika Syarikat dalam tahun 1880an untuk mengkaji suku bangsa peribumi Amerika. Beliau sendiri telah melakukan penyelidikan yang terperinci di kalangan orang Inuit dan beberapa kaum lain, dan beliaulah satu-satunya orang yang telah menubuhkan tradisi antropologi budaya di Amerika. Beberapa orang antropologis yang terkenal seperti Alfred Kroeber, Ruth Benedict dan Margaret Mead berguru dengan Boas. Pengaruh beliau berkembang dengan mendalam dalam banyak bidang penyelidikan, tetapi sumbangannya yang terulung ialah dalam doktrin relativisme budaya (cultural relativism), iaitu pendapat bahawa sesuatu budaya itu mestilah difahami mengikut logik budaya masyarakat berkenaan. Mengikut pandangan tersebut agak mengelirukan dari segi analisis jika setiap budaya itu disusun mengikut tinggi rendah di atas anak tangga evolusi. Relativisme budaya masih lagi berguna sebagai alat dalam metodologi penyelidikan hingga hari ini; perhatian mendalam tentang pendekatan ini akan diberikan kemudian dalam buku ini.

Malinowski dilahirkan di Poland, tetapi beliau telah berhijrah ke Britain dalam tahun 1910. Sumbangan beliau yang sangat penting ialah penulisannya yang sangat terperinci lagi mendalam tentang kehidupan sosial di Kepulauan Trobriand yang terletak tidak jauh dari New Guinea. Kerja lapangan beliau di sana berterusan sehingga lebih dari dua tahun, iaitu dari tahun 1915 hingga 1918. Kerja lapangan seperti yang dilakukan oleh Malinowski, yang melibatkan hubungan rapat dan berterusan dengan penduduk tempatan, telah menjadi satu-satunya contoh penyelidikan yang terus menerus dikagumi dan ditauladani oleh generasi antropologis yang menyusul kemudian. Malinowski telah menekankan peri pentingnya dikaji hubungkait antara pelbagai aspek sosial dalam masyarakat, dan seterusnya berpendapat bahawa kerja lapangan yang memakan masa yang lama adalah sesuatu yang sangat penting. Satu perkara lagi yang sangat mustahak mengikut pengalaman Malinowski ialah kemahiran bertutur dalam bahasa tempatan. Monograf yang ditulis oleh Malinowski, Argonauts of the Western Pacific (1922) telah menjadi sebuah buku klasik dengan serta merta kerana pemerihalan etnografisnya yang sangat menyeluruh dan sistematis, serta kekuatannya dalam memberikan keyakinan kepada pembaca akan peri pentingnya mengkaji sesuatu fenomena sosial atau budaya itu secara mendalam dan menyeluruh.

Salah seorang daripada rakan sebaya Malinowski, yang juga tidak kurang hebatnya dari segi sumbangan kepada perkembangan antropologi, ialah A. R. Radcliffe-Brown. Beliau banyak dipengaruhi oleh ahli sosiologi Perancis yang terkenal, Émile Durkheim, melalui penulisannya berkenaan dengan kesepaduan sosial. Durkheim juga telah banyak menulis tentang pembahagian kerja (division of labour) dalam masyarakat ‘primitif’, dan juga berkenaan dengan agama dan totemisme (lihat Bab 13 dan 14). Bagi beliau masyarakat boleh dilihat sebagai satu gagasan organik yang menyeluruh yang terdiri daripada beberapa bahagian. Bahagian-bahagian ini, yang boleh disamakan dengan individu atau institusi sosial, memainkan peranan tertentu dalam memenuhi tuntutan dari segi fungsi sosialnya. Dengan perkataan lain bahagian inilah yang memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kestabilan masyarakat. Radcliffe-Brown telah menggunakan teori sosial Durkheim untuk menganalisis bahan etnografis yang dikumpulnya sendiri dan juga bahan etnografis beberapa penyelidik lain yang mengkaji pelbagai masyarakat ‘primitif’. Beliau memberi tekanan bahawa sesuatu masyarakat hendaklah dikaji dalam keadaan semula jadi dan persekitaran sebenar. Pendirian ini adalah lebih baik daripada pendekatan yang menggunakan kaedah persejarahan tekaan (conjectural history) seperti yang cenderung dilakukan oleh antropologis daripada generasi sebelumnya. Bahkan, kedua-dua orang antropologis, iaitu Malinowski dan Radcliffe-Brown, pernah memperlihatkan sikap kurang senang kaedah persejarahan budaya.

Radcliffe-Brown dianggap sebagai pengasas kepada pendekatan struktural-fungsionalisme dalam antropologi. Doktrina ini adalah berkenaan dengan peranan pelbagai institusi sosial dalam menyumbang kepada kestabilan masyarakat. Malinowski sendiri bukan seorang struktural-fungsionalis, biarpun beliau mengaku dirinya menggunakan pendekatan fungsionalis. Radcliffe-Brown dan pengikutnya berpendapat bahawa setiap individu dalam masyarakat, berserta dengan tindak tanduknya, sebenarnya adalah ‘hasil sampingan’ daripada kewujudan masyarakat yang merupakan lembaga yang lebih besar dan menyeluruh. Dalam hal ini tugas individu ialah menyumbang kepada kesepaduan dan keutuhan masyarakat dari segi maknanya yang lebih mendalam. Malinowski pula mempunyai pandangan yang berlainan; bagi beliau kewujudan masyarakat itu adalah untuk memenuhi kepentingan individu, bukan sebaliknya. Perbezaan pendapat antara kedua-dua tokoh, yang bermula pada masa perkembangan awal antropologi moden, berlarutan sehingga ke hari ini. Sesetengah antropologis berpendapat bahawa kewujudan masyarakat itu adalah ‘hasil sampingan’ yang tidak dirancang yang terbentuk daripada tindak tanduk manusia; sementara sesetengah antropologis pula menganggap bahawa individu atau orang perseorangan itu adalah hasil daripada wujudnya masyarakat.

Banyak lagi yang boleh disebut tentang tokoh-tokoh penting yang telah mewarnai pemikiran antropologi masa kini. Durkheim, dengan aliran pemikiran sosiologi Perancisnya, telah mempengaruhi perkembangan antropologi dengan begitu meluas sekali. Anak saudara beliau, Marcel Mauss, telah menulis beberapa karya, tetapi yang terpenting ialah berkenaan peranan hadiah dalam kehidupan sosial, Essai sur le don (The Gift, 1954 [1925]; lihat Bab 11). Lucien Lévy-Bruhl, rakan sebaya Mauss, telah menulis buku berkenaan pelbagai bentuk dan cara berfikir, iaitu penulisan yang akhirnya telah mencetus perdebatan hangat, berpanjangan dan begitu kompleks, berhubung dengan cara berfikir masyarakat ‘primitif’-- sama ada cara dan bentuk mereka berfikir itu jauh berbeza dengan bentuk dan cara berfikir orang ‘moden’ (lihat Bab 14). Ferdinand de Saussure, seorang ahli bahasa, juga mesti disebut dalam konteks perdebatan yang sama kerana sumbangannya yang penting. Penulisan beliau berkenaan dengan struktur bahasa telah menjadi sumber ilham kepada salah satu daripada aliran pemikiran antropologi yang terulung dalam abad ini, iaitu strukturalisme, yang dipelopori oleh Claude Lévi-Strauss (Bab 7 dan 8).

Sigmund Freud, dengan teori psikoanalisisnya, juga mempunyai pengaruh yang kuat terutama sekali terhadap perkembangan antropologi di Amerika. Akhir sekali, tradisi sosiologi Jerman klasik, daripada Karl Marx, Ferdinand Tönnies, Max Weber dan lain-lain, terus menerus mempunyai pengaruh yang kuat ke atas pemikiran antropologi sosial masa kini. Dalam bab-bab seterusnya kita akan kembali semula membincangkan aliran pemikiran yang telah diperkenalkan oleh tokoh-tokoh agung dalam perkembangan teori sosial.

Artikel Sejenis :



Tidak ada komentar: