Bab 1
Bumi adalah sebuah planet yang terpinggir kedudukannya sehinggalah Empayar Dresanala tiba untuk membebaskannya dari cengkaman pemerintahan Perbadanan Bumi. Selepas selesainya peperangan Banyu Suci Perwitosari pada tahun 2492, Bumi akhirnya dapat mengecap erti kebebasan di bawah naungan pemerintahan Empayar Dresanala.
-- Buku Panduan Rasmi Planet-Planet Jajahan Empayar Dresanala (Terbitan Kementerian Penerangan dan Propaganda Empayar Dresanala).
---
Berikut adalah petikan dari catatan blog Muzaffar Mustaffa yang telah ditulisnya semasa beliau masih berpijak di kota Metro-M, di planet Krisna II. Ini semua telah dirakamkan, sejurus selepas beliau ditempatkan di sebuah penempatan baru buat pendatang Bumi di kawasan Kali’s Casbah, pada tahun 2202 Selepas Masihi…
Dalam pada aku melayan hasrat dan detik hati ku untuk menzahirkan apa yang sedang bersarang di benak ku, mungkin apa yang aku tulis ini tidak mungkin diterima pakai atau dipercayai sekalipun. Mungkin tidak keterlaluan untuk aku mempersetankannya kerana, perkara ini tidak penting buat diri ku buat masa ini.
Yang mustahak, blog ini akan aku tulis dengan tujuan untuk membuat anak cucu ku nanti mengerti, kenapa aku telah ke sini. Di sini dan bukan di Bumi.
Aku sudah berada di sini. Kaki ku dah melorek tapak di tempat asing ini—di planet perindustrian yang begitu jauh dari Bumi. Tubuh kecil ku terselit antara ratusan ribu manusia buangan lain dari bumi yang berhijrah ke sini secara paksa oleh Perbadanan Bumi (Perbadanan Bumi telah ditubuhkan oleh Konsortium Perbankan sejurus selepas tamatnya Perang dunia III pada tahun 2069. Kedua-dua paksi yang bertelagah yang telah dibiayai dengan sepenuhnya oleh Konsortium Perbankan tidak dapat membayar semula pinjaman yang telah mereka lakukan untuk berperang. Negara-negara yang telah terlibat akhirnya terpaksa diisytiharkan muflis lalu diambil-alih oleh Konsortium Perbankan, yang kemudiannya telah menyatukan negara-negara ini di bawah satu perbadanan. Sepuluh tahun kemudian, kesemua negara-negara di Bumi akhirnya telah diambil alih oleh Perbadanan Bumi)
Proses transmigrasi ini telah bermula sejak sepuluh tahun yang lalu. Aku fikirkan
bahawa aku tidak mungkin akan disenaraikan sebagai manusia-manusia yang
dipaksa berhijrah ke koloni-koloni baru ini. Kerana aku mempunyai pas yang sah untuk terus menetap di Bumi… pekerjaan (Sesiapa yang tidak mempunyai pekerjaan atau bekerja untuk Perbadanan Bumi serta anak-anak syarikat
milikinya, akan dihantar ke planet-planet koloni yang perlu diterokainya) ........
Selengkapnya dapat di download disini ...
http://www.geocities.com/kojemauil/novel/baladewa-x.pdf
Tidak ada komentar:
Posting Komentar