Custom Search

Senin, 14 April 2008

Ladang Hati Mustika




.

1. IMPIAN KASIH

Cinta tumbuh subur dalam diri. Warna-warna bahagia menjadi baja dalam taman nubari, menggembur dan meranum denai taqwa sebati dengan cinta. Berakarlah segala sifat mahmudah hingga tercantas haloba duniawi yang selama ini membusung di hati. Cinta yang jernih itu hanya kenal kebaikan. Tidak ada kewalahan pada detik waktu yang kosong. Semuanya terisi. Semuanya menjadi sesuatu yang berharga bersama Kekasih.

Hidup yang ranjau ini kadang menjadi medan yang panjang pada diriku walaupun umur baru di takah remaja. Caturan fitrah Tuhan amat cantik buatku kerana mengurniakan sifat hawa yang sensitif pada kehidupan. Lantaran seni itulah aku sering merasakan aku ini seorang-seorang di dunia ini. Dengan hatiku, aku mengenal diriku sendiri yang mempunyai ayah yang penyayang, ummi yang taat serta dua adik pelengkap tawa dan tangis jiwaku. Semuanya kurnia Tuhan yang tidak ternilai tambahan mutiara paling agung dalam diri ialah iman dan Islam yang aku yakini hanya itulah kenderaan yang membawa aku dan keluarga ke pelabuhan akhirat dengan selamat.

Aku ini sangat sederhana dalam serba-serbi tindakan. Dan kesederhanaanku malahnya bukan menghampiri kepada kesempurnaan tetapi kepada sikap gopoh-gapah yang mengundang rasa gundah dan berang pada diri sendiri. Dengan sikap itu jugalah aku ini menjadi seorang yang merendahkan diri walau ke lorong mana aku jelajahi. Sikap rendah diri menjadi sebati dengan diriku. Dan aku berjalan dengan mengendong sikap itulah ke mana-mana. Mujurlah aku dinamai dengan Nur Mustika yang bermaksud cahaya mustika. Cahaya itulah sedikit sebanyak menyuluhi langkah gontaiku menjadi muslimah yang pasang-surut rentak semangatnya.

Sering aku tercicir banyak perkara ketika berkayuh dengan masa untuk sampai ke destinasi usiaku yang sentiasa bergerak ke hadapan. Usia bayiku yang sudah ditinggal jauh, dan tidak sekali akal lemahku dapat merakam semula detik-detik di dalam perut ummi, dan bagaimana aku dan ummi sama-sama bergelut dengan nyawa masing-masing menyelamatkan diri ketika ummi mahu melahirkan aku dan aku juga gopoh untuk keluar dari perut ummi. Entah bagaimana rupanya aku menangis setiap malam kerana mahukan susu ummi juga saban kencing dan berakku dibasuh oleh ummi dan abahku. Dan rentakku bermula apabila sudah pandai bercakap, bertatih seterusnya berjalan dan berlari girang menjadi kanak-kanak keletah. Rentak sudah makin berseni apabila aku mula didedahkan dengan alam persekolahan dan belajar menjadi manusia. Abah dan ummi memang tepat membuat keputusan kerana mengenalkan aku pada agama sedari kecil. Maka, rentakku terarah tidak terpesong apabila Allah menjadi Tuhanku setiap masa dan Rasulullah s.a.w adalah nabiku yang menjadi petunjukku pada setiap perkara. Lalu, berjalanlah aku dengan rentak seorang Muslim dengan aqidah tauhid dan ikatan syariat yang menjadi perisai. Namun, kerana aku ini Muslim yang biasa dan sifat lemahku sebagai manusia, maka aku tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Ketika ini, aku masih meneruskan rentak perjalananku yang semakin bertambah bunga seninya. Takah usiaku mula beralih daripada zaman pra remaja kepada zaman remaja sepenuhnya. Ketika inilah yang menguasai diriku bergumpal-gumpal perasaan yang bersilih-ganti mencorak emosiku sendiri. Semuanya berbaur impian. Aku ingin menggapai bintang, bulan, matahari dan semua sumber cahaya yang lain agar ia menerangi diriku dan aku mampu pula menerangi manusia lain. Aku ingin meneroka seluruh alam, berjalan dan menafsir tentang ciptaanNya agar aku semakin yakin dengan kuasa Tuhan yang memberi dan menarik semula nikmat-nikmatNya jika aku tidak bersyukur. Aku bersemangat untuk berusaha dengan keazamanku menjadi seorang hartawan di masa depan dan dengan bekal hartaku itu dapatlah aku membantu manusia lain hidup gemilang dalam agama. Dan paling aku cita-citakan ialah membina keluarga bahagia melalui proses perkahwinan yang berkat. Aku mahu seorang lelaki dalam hidupku. Dialah paling dekat denganku. Menjadi suami, menjadi sahabat, menjadi teman dalam setiap pekerjaanku, menjadi ayah pada zuriatku dan dia juga yang membimbingku meniti dua perjalanan yang berbeza di dunia dan di akhirat. Dan akhirnya kerana kami saling membantu di atas batas taqwa, maka berjayalah aku, suamiku dan anak-anakku berkumpul di taman syurga yang abadi.

Semua itu menjadi sarat yang terpundak di kantung fikiranku walaupun jalan usahanya masih perlahan. Kemungkinan bias rasa rendah diri, aku menjadi seorang yang jatuh bangun pada tindakanku. Kemungkinan yang lain ialah aku telah tersungkur di tengah perjalanan menggapai segala impian ini.

Suaraku mula kedengaran semula setelah aku menelan ubat ujian yang amat pahit. Aku ini yang kaya cita dan angan-angan, yang sedari kecil selalu berfikir yang manis, bahagia, gembira, berhibur dan tenang selamanya baharu tersedar bahawa hidup ini bukanlah semudah memandang cahaya matahari dan bulan, malah bukan seperti mata yang berkerdip di waktu jaga. Hidup ini mengalami waktu senang dan sukar. Waktu bangun dan jatuh dan waktu cerah dan kelam. Hidup ini perlu sentiasa bersedia menjadi senang atau susah. Mudahnya pada diriku ialah hidup ini perlu ada senjata yang membekali perjalanan untuk bersuka dan berduka.

Maka dengan jiwaku yang metah ini, Tuhan telah memberi ganjar ujian yang setimpal dengan lembut jiwa dan halus hatiku. Tuhan tidak menimpakan kepadaku ujian yang berat-berat seperti yang ditimpaNya kepada umat yang terdahulu. Tuhan juga tidak menjatuhkan bala seperti saudara-saudaraku di Negara-negara Islam yang lain, peperangan, kebuluran, kematian dan lain-lain. Tuhan hanya menarik nikmat perkasihan dari ladang hatiku. Tuhan hanya menyuntik angin musibah agar aku kembali bermuhasabah. Tuhan hanya melencong impian dan angan manusiawi dalam diriku. Semua ujian Tuhan hanya dilandas pada hati, jiwa dan perasaan tetapi akal dan fizikalku masih sejahtera sihatnya.

Semuanya telah kucantumkan dalam nekad untuk bangkit dari lompong-lompong ujian yang sebenarnya berpunca dari tindakanku sendiri. Aku terlalu gembira sebelum ini dengan segala angan dan impian, mujurlah masih ada peluang untukku sejenak merenung seni menjadi manusia hamba dan khalifah.

Ayuhlah! Nur Mustika tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Segala yang terbentang ini harus diterkam dengan jujur hati. Di hadapan, peluang masih luas. Dan masa pun terlalu pantas berputar tetapi waktu untuk berubah masih ada. Rawatlah jiwa rawan dengan ubat iman. Selalu-selalu membuat pemeriksaan pada diri. Selalu-selalu bergantung pada Tuhan.

Dan kisah ini hanya satu episod dalam takah hidup selepas bergelar manusia sedar. Proses antara dua peranan menjadi remaja kepada dewasa. Proses untuk bergelar seorang hamba yang sebenarnya dan proses membina semula impian dalam taman perkasihan. Boleh diandaikan menjadi pedoman kepada hidup manusia lain dan nostalgia kepadaku yang akan terus melangkah ini. Kisah yang secubit ini bergeraklah untuk mencari semula baja dan benih pohon perkasihan. Impian kasih!

2 MENCARI TEMPAT BERTEDUH

Mata terbuka besar. Faez datang mampir, menghulur kertas putih yang keluar dari printer Canon BJC-1000SP. ‘Rumah Untuk Di Sewa.’ Aku membaca tajuk utama yang tertera di kepala kertas.

“Bagaimana?” tanya Faez.

“Ok. Tapi..” Aku memandang matanya, hidungnya dan seluruh wajah di hadapan ku itu.

“Tengok orang macam nak makan,” getus Faez.

“Bukan tengok Faez, tengok jerawat tu. Perasan!” Dia mencebik.

“Mus macam berat hati nak iklan cari orang baru. Mus tetap nak duduk MC?” Aku menggeleng.

“Kita kena cari orang minggu ni jugak. Kalau tak, sewa bulan depan kita dua sahaja yang bayar. Teruk!”

“Budak dua orang tu tak patut buat kita macam ni. Masa susah cari kita, bila dapat kolej blah gitu je.”

“Biarlah Mus. Tak guna mengeluh lagi. Sekurangnya kita dapat nilai sikap seseorang.” Kata-kata Faez mengendur perasaanku.

“Habis?”

“Keputusan pada Mus. Sama ada nak tampal kertas ni atau kita yang pindah dari rumah ni. Bagaimana?”.

“Mus nak fikir lagi Faez. Letaklah kertas tu kat sini dulu.” Aku mencapai kunci yang tergantung di sudut pintu. “Jom gi kelas.”

Faez memasukkan kertas putih ke dalam bukunya, dia mengekor langkahku. Aku tahu, hatinya berang dengan keputusanku. Iklan itu ditaip sejak Subuh dan aku begitu mudah mengabaikannya.

Deru motorsikal sehebat angin yang mengilis tudung kami. Tanganku kemas melingkari pinggang Faez. Sesekali dudukku terjungkit ke belakang apabila motor yang dipacu kami termasuk ke dalam lekuk-lekuk jalanraya yang tidak rata. Pagi yang bersinar indah tetapi tidak mampu menyinari hatiku yang suram. Mungkin Faez juga begitu. Kami saling diam. Atmaku terbayang bangunan Millineum Court atau MC yang terletak di penjuru barat Universiti Malaya. Iklan besar yang tergantung di papan masuk UM terbayang-bayang di kepala. Mungkinkah MC tempat menginapku semester ini? Khabarnya murah. Walau apapun, Faez mesti bersamaku. Lingkaran tanganku di pinggang Faez semakin kemas.

“Mus jumpa dulu pegawainya. Kalau sesuai, kita menginap di MC sahaja. Bolehkan?” Faez mengangguk sambil membuka helmet. Motorsikal Kris hitam bertukar tangan. Enjin tidak dimatikan.

“Faez ikut Mus sahaja. Tengoklah dulu kat MC, manalah tau sesuai. Yang penting harganya maklumlah kita ni …” Dia berhenti di situ.

“Kita sama-sama sengkek,”sambungku.

“Tau takpe.” Faez Ketawa.

“Ambil Faez pukul dua nanti. Apa-apa keputusan terkini smslah.”

“Yolah.” Aku menderum keluar dari kawasan Fakulti Sains. Tidak sabar rasanya meninjau lokasi penginapan MC. Benarkah harganya sudah jatuh RM199 untuk satu bilik? Bolehlah aku berkongsi bayar dengan Faez setiap bulan. Wah! Lebih jimat berbanding tinggal di kolej atau rumah sewa. Senyum.

Mata seperti tidak percaya. Aku menapak mendekati kain rentang yang diikat di pintu pagar bangunan MC. Membaca bait-bait iklan. Pada harganya tertulis RM199 per bilik dan sebutir tanda bintang di atasnya. Di sudut paling bawah kain, tertulis maksud tanda bintang: RM199 untuk setiap orang. Mahal. Aku kembali menaiki motorsikal dan membatalkan hajat untuk berjumpa pegawai MC. Sudah tertera di kepalaku keputusan yang bakal diputuskan. Faez! MC bukan tempat kita.

Bau karipap dan jemput-jemput pisang di dalam piring menusuk hidung. Tidak sabar untuk menguyah bagi menyedapkan hati yang gundah. Soalan Faez sejak dua hari yang lalu kembali bertamu.

“Betulkah MC murah?”

“Betul. Mus tengok sendiri iklannya di pintu masuk UM. Dengan mata dan kepala.”

“Yakah? Apapun kita kena cuba cara lain juga.”

“Cara apa?”

“Buat iklan, cari orang baru ganti tempat Aimi dan Imah. Masih sempat lagi.”

“Mus berat hati cara tu.”

“Sebab nak duduk MC juga?” aku mengangguk.

“Mus dah serik nak sewa ramai-ramai ni. Kita tak kenal sikap seseorang.”

“Mus pergi tinjau sendiri MC. Kalau murah, Faez ikut Mus sahaja.”

Faez mengalah. Sekarang, malu bertamu di hati. Faez si tenang itu dengan caranya mengawal sikap keras kepalaku membuatkan Nur Mustika malu sendiri.

“Mus!” Aku tersentak. Kak Jibah mampir bersama seorang rakannya.

“Makan sama.” Aku mengangguk. Mereka masing-masing mengambil tempat di hadapanku. Bau kuah roti canai dari piring mereka menghilangkan bau karipap di piringku. Bibir terus menguyah sambil memerhatikan tangan kak Jibah menggerakkan sudu dan garpu, memecahkan roti canai menjadi keping-keping kecil agar mudah dimakan. Garpunya menyucuk keping kecil roti dan dimasukkan ke mulut. Pipinya berbonggol apabila mengunyah. Selera kak Jibah menghilangkan resah di benakku.

“Apa nama kawan akak ni?” tanyaku.

“Ops! Lupa nak taaruf pulak. Kejap ek” Kak Jibah meneguk air. Kawan di sebelahnya tersenyum-senyum. Agakanku dia lebih tua daripadaku. Berkulit hitam manis dan berdagu runcing. Mungkin teman sekerja kak Jibah.

“Kak Ida Nerana. Eh! Awak sebaya kitakan?” temannya itu mengangguk. “Betulllah kakak. Mus panggil je kak Ida. Dia teman serumah kak Jibah.”

“Kak Ida yang manis,” kataku. Sejurus meledak ketawa mereka. Kak Ida lebih-lebih lagi.

“Mus ni orang sastera Ida, berbunga-bunga bahasa dia ni,” kata kak Jibah. “Bukan orang sastera tapi orang Islam berjiwa sastera,” kataku tersenyum.

“Tengok tu. Tak habis-habis main dengan bahasa. Eh! Tinggal mana sekarang?” tanya kak Jibah. Aku mengetuk sudu. Ketul kentang yang melekat terjatuh ke dalam piring.

“Entahlah,” balasku. Masalah kembali bertamu. Terbayang wajah Faez, kertas putihnya dan bangunan MC.

“Saya dan kawan baru dua minggu tinggal kat flat Pantai Dalam tu. Mulanya kami berempat tapi dua daripada kami dah dapat masuk kolej. Sekarang tinggal dua jadi dalam proses dapatkan orang baru,” jelasku.

“Dah tampal iklan?”

“Belum lagi. Berat pulak hati ni.”

“Kalau nak cari orang baik cepat-cepat. Tengah sem nanti orang dah ada tempat tinggal, susah!” sampuk kak Ida. Aku memandang kak Ida. Dia seperti ada pengalaman.

“Kak Jibah sebenarnya pun tengah cari orang nak tinggal sama,” katanya. Mataku bercahaya.

“Ye ke? Nak cari berapa orang?”

“Dua atau tiga orang. Sekarang rumah tu ada empat orang, kalau tambah tiga orang lagi pun boleh.”

“Kat mana?”

“Seksyen 14. Belakang Masjid Bulat. Rumah teres setingkat 2 bilik. Kalau berminat, boleh datang survey dulu.” Kak Jibah menghabiskan roti canainya. Aku masih menunggu penjelasan kak Jibah tentang rumahnya.

“Mus ada kenderaan tak?”

“Tumpang motor kawan je,” kataku.

“Kalau nak datang UM, tumpang motor kak Jibah takpe. Akak kerja di sini. Amik no hp akak. kalau ada apa-apa, cakaplah.” Aku memasukkan nombor hp kak Jibah ke dalam memori hpku.

“Insya Allah. Saya bincang dengan kawan dulu,” putusku.

Kemudian, kak Jibah bersama kak Ida berlalu. Aku mengemas buku dan menyusun pinggan-pinggan bekas makanan kami ke satu sudut. Pelayan kantin mendekat dan mengambil bekas-bekas kotor di mejaku.

“Terima kasih,” katanya.

Sama-sama.”

Aku bangun ke pintu. Berjalan sambil menekan punat-punat sms: Faez, Mus ada rancangan lain. Kita pindah rumah!

Malam itu aku dan Faez bermuzakarah. Kami berbincang mengenai pro dan kontra sama ada terus tinggal di rumah itu atau berpindah ke rumah kak Jibah dan kawan-kawannya di Seksyen 14. Di mindaku juga terpeta perkara lain. Sebuah kenangan yang sukar dikikis dari nubari.

“Mus berbelah-bahagi nak tinggal terus di sini atau tidak. Faez faham..”

“Apa yang Faez faham?,”soalku. Mataku bukan lagi pada skrin komputer di hadapan. Wajah bujur dan berkulit kuning langsat milik Faez ditenung. Jika berbicara, aku selalu tegang dengannya tetapi itulah sahabat yang paling intim denganku.

“Rumah ini, ia menghimpunkan kenangan lama Mus. Tapak, bekas malah angin yang mendesir semua berbaur cinta dan kasih sayang Mus pada Bayu. Betulkan?”

Aku mencenung Faez. Memang aku tidak dapat menipu diri lagi. Kata-kata itu juga adalah sebab utama aku memilih rumah ini. Walaupun pada Aimi dan Imah aku berdalih mengatakan rumah ini paling murah tambahan tuan rumahnya baik dan mesra. Namun, lokasinya di tengah hiruk deretan kedai dan rumah-rumah kecil yang lain, ia tidak dapat lari dari kebisingan. Masalah itu menggigit Aimi dan Imah kembali tinggal di kolej kediaman universiti. Rumah ini adalah bekas tinggalan Bayu dan teman-temannya ketika menuntut di Universiti dulu. Aku pula tergerak menyewa semula rumah mereka tanpa pengetahuan Faez.

“Mus, Faez rasa ada hikmahnya masalah begini timbul. Tuhan nak lorongkan tempat yang lebih baik pada Mus dan Faez. Mungkin di rumah kak Jibah.”

“Kenapa Faez rasa begitu?”

“Luka lama berdarah kembali. Mus faham maksud tu bukan?”

Aku bangun dari kerusi dan duduk menyebelahi Faez.

“Kalau itulah, kita berpindah sahaja,”jelas jawapanku. Mata Faez memandangku.

“Faez baca catatan Mus. Maaf, bukan Faez sengaja menyibuk, kertas tu termasuk dalam beg Faez. Mus kena kuat. Jangan lagi diingat-ingat peristiwa lama. Nafsu mutmainnah menuntut pembersihan jiwa dan Mus kena bebas dari aroma nafsu Bayu. Terpulang pada Mus sekarang, sama ada nak tinggal rumah kak Mun ni atau rumah kak Jibah. Yang penting, niat kerana Tuhan. Kita nak cari tempat berteduh mestilah yang paling redup, bukan sahaja untuk fizikal tapi rohani kita. Mus yang ajar Faez kata-kata tukan?

“Faez. Terima kasih.” Aku mencapai tangan Faez. Mengusap dan menggenggamnya.

“Buat istikharah. Apapun keputusan Mus, jangan bimbang, Faez akan bersama Mus.”

“You are always be my bodyguard..”

And your driver,” balas Faez. Kami ketawa. Aku menarik gebar, merebahkan badan di sebelah Faez. Dia kembali menyambung bacaannya.

Malam berlalu begitu panjang. Beberapa kali aku terjaga dari tidur. Suara dan bisikan Bayu seolah bermain di kuping telingaku. Getar yang pernah meruntuhkan perasaan gadisku. Dia datang menghulur kasih sambil menghembus bayu-bayu semangat seperti juga namanya Bayu Ilhami. Kemudian wajah ceria itu bertukar cuka, berpaling dan bingung setelah aku menyambut huluran kasihnya. Bayu menghembuskan bayu-bayu kontang yang tidak berisi apa-apa, kemudian seperti fatamorgana, dia hilang bersama semangatnya. Dan aku bukan apa-apa lagi padanya.

Aku meraup muka. Bisikan iman mendorongku bangkit untuk bermuamalah dengan Tuhan. Kumohon pada-Nya semoga menempatkan aku di suatu teduhan yang baik kala menuntut ilmu. Dan mengurniakan sahabat-sahabat yang solehah agar aku selalu di pesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran. Aku juga bermohon kehidupan yang sempurna kepada Bayu. Tidak sekali aku membencinya kerana sikapnya yang dibentuk oleh keadaan dan peristiwa.

Matari bersinar terang. Cahaya yang menghidupkan warga metropolis untuk berasak mencari rezeki hingga ke rembang senja. Deru kenderaan mula hingar sejak subuh. Suara-suara manusia peniaga menerjah masuk melalui tingkap.

“Tak pernah sunyi tempat ni. Bising 24 jam.” Faez membetulkan kain tudung di cermin yang tergantung berhampiran tingkap.

“Adalah juga senyapnya. Pukul 2-3 pagi tu sunyi jugalah,” balasku.

“Sunyi apanya, masa tu mat-mat rempit pula melalak. Hah! Apa keputusan Mus?” Faez menghembus atas tudungnya. Membentuk bujur mengikut keselesaan wajah. Aku terjungkit di belakang Faez, menunggu giliran menatap cermin.

“Kita gi tengok rumah kak Jibah, insya Allah jadi kot,” kataku.

“Bila?”

“Habis kelas nanti kita ke Seksyen 14.”

“Harapnya selesalah rumah tu. Jangan sempit macam sardin sudahlah.”

“Moga-moga begitulah.” Aku melipat tepi tudung, membentuk bujur di bahagian atas muka. Kiri tudung ditarik ke belakang dan diketip dengan pin silver sebelum bahagian kanannya diketip di posisi bahu. Pin Silver jenama Avon berkilau digilap cahaya matari.

“Cantik dah tu, jomlah,” gesa Faez.

“Ratu pecutkan ada. Cik Faez Faiza, ha..ha..” Aku berlari mencapai helmet. Kertas putih yang ditaip Faez terbang ke bawah meja. Aku memerhati sekilas. Faez sudah menunggu di luar pintu.

“Tunggu, Mus nak pakai stoking ni.”

“Warna pink, tak sesuai langsung,”ejek Faiz. Sebelah mukanya tertekap di pintu besi.

“Tungu jap, Mus tukar stoking,” aku melangkah ke dalam bilik.

“Err..tak payah. Sesuai dah warna pink.” Aku mengerut dahi. Jelas Faez tidak boleh bersabar. “Kau memang.” Aku menyarung semula stoking dan berjalan keluar. Pintu dikunci dan dimanggakan. Kami sama-sama turun ke bawah rumah.

Seperti dijanjikan, kami memacu motorsikal ke Seksyen 14, mengikut deruan motorsikal Kak Jibah yang sesekali menyelit di celah kenderaan yang banyak. Sejak akhir ini, aku begitu acap dengan motorsikal walhal, kenderaan itu tidak pernah kusentuh ketika di rumah. Di kota yang sibuk ini, kita boleh menjadi apa sahaja. Perwatakan dibentuk oleh persekitaran. Sifat keras Faez sedikit sebanyak turut mencengkami tindakanku.

Rumah itu sederhana besar. Sebatang pokok jambu tegak berdiri di tepi pagar rumah, menyambut tetamu yang datang dengan teduhan dan daun-daun gugur yang dihembus angin. Sebuah buaian comel terletak di bawah pokok, sesekali berkeriuk jika yang menujamnya bertubuh besar.

“Badan macam Mus je yang boleh duduk atas ni,” aku ketawa. Faez mencebik, cemburu melihat aku yang tergoyang-goyang di atas buaian. Satu ruang disediakan untuk meletak motorsikal. Kira-kira empat buah motorsikal semuanya termasuk motorsikal Faez. Kak Jibah berdiri di muka pintu.

“Korang masuklah. Buaian tu memang untuk budak kecik je. Mus sesuailah,” jerit Kak Jibah. Faez ketawa mengekek. Aku melompat turun ke bawah.

“Ganas makcik ni.”

“Uwek! Jeles la tu, ha..ha..,” aku menjuih bibir.

“Korang ni memang kaki gaduh ha?” soal Kak Jibah. Aku dan Faez sudah berada di dalam rumah. Kami menyalami Kak Ida dan Kak Tipah . Menurut Kak Jibah, masih ada seorang lagi ahli rumah iaitu Kak Wani. Dia bekerja di Gombak dan pulang agak lewat.

“Mus dan Faez duduk bilik depan dengan Kak Wani, bilik belakang tu Kak Jibah dan kawan-kawan lain.”

Kami masuk ke dalam bilik. Sebuah meja belajar dan almari baju terletak berdekatan dinding. Bilik itu sederhana besar. Kami beredar ke ruang tamu dan dapur. Marmar putih menjadi lantai seluruh ruang dalaman rumah. Beberapa rak buku turut diatur menjadi pemangkin televisyen. Keseluruhannya kelihatan kemas. Sesuai dengan namanya Az-Zahra’ Homes.

“Insya Allah, Mus dan Faez akan mula tinggal di sini minggu hadapan. Esok atau lusa, kami angkut barang ke sini,” putusku.

“Selamat datang. Rumah ni rumah kita. Kita semua adik-beradik,”sampuk Kak Ida.

Kami bersalaman sebelum beredar. Ketika bergerak ke jalan besar, terasa awan kebahagian sedang melindungiku dan Faez. Pesekitaran di sini jauh berbeza berbanding kawasan perumahan di Pantai Dalam. Cuma perjalanan ke UM mengambil masa 7 minit, lebih 2 minit dari Pantai Dalam.

“Faez, Tuhan telah menjadualkan sesuatu yang lain dari apa yang kita rancang.”

“Adalah hikmahnya.”

Motorsikal kami menderum laju bersama kenderaan yang berpusu-pusu keluar dari langit Petaling Jaya.

3 MANIK-MANIK UKHWAH

Rumah ini ia seperti satu taman daripada taman-taman ukhwah. Fizikalnya, ia tidak banyak berbeza daripada rumah-rumah sewa yang lain. Sekumpulan anak-anak dara yang mempunyai latar-belakang yang pelbagai, sikap dan watak yang berbeza serta masing-masing ada tanggungjawab tersendiri. Tiga daripada kami sudah bekerja iaitu Kak Jibah, Kak Tipah dan Kak Wani. Manakala aku, Faez dan Kak Ida masih belajar dalam jurusan berlainan di Universiti Malaya.

Pertama kali menjejak rumah ini, tiada kelainannya di hatiku. Cuma mencambahkan pengalaman hidup kerana inilah kali kedua aku menginap di rumah sewa selepas tinggal di rumah sewa Kak Murni di Pantai Dalam selama dua minggu. Musim-musim akhir bergelar siswazah, aku dan Faez terpaksa berkorban kesenangan untuk menginap di kolej kediaman universiti bagi melebihkan masa dan kewangan terhadap pelajaran. Mungkin ada sesuatu yang bakal kami temui di sini? Tuhan amat kaya perancangan-Nya.

“Kita di sini macam adik-beradik. Yang tua semuanya kakak dan yang muda…”

“ Yang muda budak-budak…”

“Shh..Faez, kakak tu tak habis cakap lagi,” aku menegur Faez. Semua mata memandang kami. Kak Wani ketawa terkekek-kekek.

“Formal sangat kot Kak Wani cakap. Ok, mudahnya mulalah taaruf kita ni,” balas Kak Wani.

Aku berbisik pada Faez, “Kau punya pasallah ni, menyampuk cakap orang.” Faez menguis lenganku.

“Mus apa yang bisik-bisik tu? Cakap kuat-kuat bagi semua dengar.” Kak Jibah membuka mata. Faez di sebelah menutup mulut. Bahagia dapat melihat aku terpinga.

“Err..maaflah. kami ni tak pernah duduk rumah sewa, jadi tak tahu adab,” kataku. Kakak-kakak itu ketawa. Apa yang lucunya?

Ada ke adab-adab rumah sewa?” sampuk Kak Tipah. “Tak payah nak formal-formal sangat, semua ni kepala Doraemon punya.”

“Kau Tipah tak habis-habis dengan Doraemon, kepala aku kepala realistik. Kepala bakal professor,” tambah Kak Jibah. Aku menutup mulut. Kulihat mata Faez mula berair kerana menahan ketawa sejak tadi.

“Sudah..sudah, Cik Mustika kita dah nak perkenal diri.” Kak Ida mula bersuara. Tegas juga bunyinya.

“Nama diberi Nur Mustika. Boleh panggil Mus je. Asal Jitra, Kedah. Anak sulung daripada 3 beradik. Umur 24 tahun. Itu je kan?” Aku mengubah posisi duduk. Semua mata masih tertumpu padaku.

“Ayah Mus kerja apa?”

“Pengetua sekolah kerajaan tapi dua tahun lagi nak pencen dah.”

“Mak?”

“Mak pengusaha nurseri pokok.”

“Wah! Bagusnya. Pokok apa yang ada?”

“Akak nak pokok apa? Semua ada,” sampuk Faez.

“Faez dah pernah pergi rumah Mus ke?” tanya Kak Ida.

“Tak lagi kak. Dia ni memang suka menyampuk dan buat-buat tau,” kataku. Faez menarik muka. Padan muka!

“Nurseri mak saya takdaklah besar sangat. Baru 3 tahun beroperasi. Selain pokok bunga, kami jual pokok buah, baja, pasu dan juga khidmat landskap,” jelasku.

“Nanti bolehlah gi rumah Mus. Menarik. Menarik.”

“Biasa-biasa saja. Jemputlah datang rumah nanti ya. Ok, ada apa-apa soalan lagi?” aku mengesot ke belakang.

“Dah ada pakwe?” Aku tersentak. Melihat Kak Ida yang tiba-tiba bertanya, mataku beralih pada Faez, si penyimpan rahsiaku. Sukar juga soalan itu.

“Mus masih single. Sekarang ni nak fokus belajar dulu. Tapi, Mus ni single yang ramai peminat,” kata Faez.

“Waa..Faez banyak tahu pasal Mus. Jadi jurucakap plak tu,” tegur Kak Jibah.

“Macam saya cakap tadilah kak, dia ni memang suka menyampuk. Tapi, apa yang Faez cakap ada betulnya. Masih single!” Aku tersengih. Mereka semua berpuas hati. Giliran Faez mengenalkan diri.

Usai sesi taaruf, Kak Ida bangkit menghidangkan air. Tiba-tiba Kak Wani mengeluarkan kek dari peti sejuk.

“Kek salam perkenalan,” katanya. Aku begitu terharu. Kek comel bersalut coklat dan bluberry. Enam biji ceri disusun bulat mengelilingi krim yang tertulis ‘Kawan-kawan’. Begitu sekali kami disambut ke sini.

“Sebenarnya akak baru dapat gaji pertama, kira kenduri sambut korang sekalilah,” kata Kak Wani. Kami sama-sama mengangkat pisau, menekan dada kek yang lembut sambil menyanyi kecil “Allah selamatkan kami.” Terasa kemesraan walaupun pertama kali bertemu.

“Rezeki yang kita dapat, kita kena kongsi-kongsi dengan orang lain, baru Allah nak cambah lagi. Kalau dapat sikit, bagi sikit, bila banyak, bagi banyak. Macam tu yang Rasulullah ajar. Bukan bila sikit, tak bagi langsung sebab nak tunggu banyak. Tak selalu bersedekahlah kita ,” kata Kak Jibah.

Kek yang dipotong piramid diletakkan di dalam piring-piring kecil kemudian diagihkan kepada semua orang. Jariku menyentuh lapisan coklat. Air liur mula berahi di tekak.

“Sebelum makan dengan lahapnya, kita sebutlah impian terdekat dalam hidup. Semoga Allah makbulkan segera. Bismillahirrahmanirrahim..impian Kak Wani ialah dapat berkahwin dengan lelaki soleh secepat yang mungkin,” kata Kak Wani. Aku menelan liur. Berkahwin? Wah! Mantap impian Kak Wani.

“Impian saya ialah dapat sambung master, jadi tutor seterusnya pensyarah dan profesor,” Kak jibah menggenggam jemarinya. Semangat.

Mata beralih pada Kak Ida, apa impian kakak yang manis berdagu runcing ini?

“Kak Ida harap dapat four flet semester ni.”

“Aminnnnn..” kata kami yang lainnya. Kak Tipah kemudiannya menopang dagu, memikirkan sesuatu yang menjadi impiannya. Dia kemudiannya menyatakan harapannya untuk menubuhkan sebuah syarikat multimedia.

“Akak nak buka syarikat multimedia dakwah. Dua tahun lagi, ia akan berdiri sama gagah dengan syarikat ICT lain,” kata Kak Tipah. Abah tentu bahagia jika aku mempunyai semangat seperti Kak Tipah. Semangat usahawan muslimah.

“Impian Faiz ialah dapat majukan sukan silat negara.”

“Bagaimana caranya?” tanya Kak Wani.

“Faez nak bersungguh-sungguh menguasai ilmu seni silat kemudian nak lebarkan pada generasi akan datang supaya sukan silat kita tak ketandusan bakat.”

“Nak jadi jurulatih silatlah ni. Waaa…” kata Kak Ida. Kagum. Faez yang berjiwa lasak amat mendalam cintanya pada sukan silat. Dia sanggup menggadaikan cuti dan masa terluangnya untuk bergiat dalam aktiviti persatuan silat universiti yang dia sendiri menjadi presiden. Mudah-mudahan terkabul cita-cita mereka.

“Mus pulak?”

“Mus nak kukuhkan diri dengan pembacaan sebab nak jadi penulis kenalah banyak maklumat dalam otak ni,” kataku. Sebenarnya, impianku yang terdekat ialah menulis sebuah novel motivasi berdasarkan pengalamanku sendiri. Impian ini masih terawang-awang dalam fikiranku lantaran masa yang tidak mengizinkan.

“Insya Allah, sebelum tahun 2009, novel karya Nur Mustika berada di pasaran.”

Go go chai yok!”

“Aminnnnn”

Kemudiannya, kami saling menyuap kek ke mulut sendiri. Kek sponge tambah lazat dengan aiskrim vanilla coklat. Dalam hati masing-masing berdoa dan berharap agar impian diri dan sahabat menjadi kenyataan apabila tiba waktunya.

Malam itu, berhamparkan tilam nipis yang panjang, kami berenam tidur sebaris di ruang hadapan. Putaran kipas syiling menambah dingin malam. Aku terperosok di sudut paling hujung. Mata begitu sukar untuk terlelap. Fikiranku meneroka pengalaman ini, ia satu yang berharga dalam hidupku. Tidur dan makan secara berjemaah bersama teman-teman.

“Kalau ada orang luar masuk mesti diaorang lari.”

”Kenapa?”

“Sekumpulan anak dara mati syahid di tengah rumah.”

“Mujahidah Islam!”

“Shh..cakap bukan-bukan. Seram pulak dengar.”

“Bagus apa. Mati syahid masuk syurga free tau.”

“Yelah..”

Kak Tipah berdehem. Aku dan Faez yang masih berbisik langsung terdiam. Aku berpaling ke kiri dan ke kanan. Memerhati putaran kipas dan menjatuhkan selimut ke paras pinggang. Ruang untuk bergerak terbatas. Benarlah! Kami seperti barisan pejuang Islam yang syahid di medan perang.

“Tak boleh tidur Mus?” tegur Faez di sebelah. Aku mencapai bantal dan menutup muka.

“Pengalaman menarik bukankah nikmat bernilai buat seorang penulis? Mungkin boleh masuk dalam novel,” tambahnya.

“Yalah. Sejak suka baca novel Faisal Tehrani, bukan main bahasa kau ya,” kataku. Kami ketawa. Kak Tipah berdehem semakin kuat.

4 GETIR CABARAN ANAK UNIVERSITI


Bersambung


Artikel Sejenis :



Tidak ada komentar: